Wednesday, January 9, 2008

BPR PP rampas milik perasuah

BPR rampas harta RM30j milik pesalah rasuah
PULAU PINANG 8 Jan. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah merampas harta bernilai kira-kira RM30 juta milik pelaku rasuah di seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, harta berkenaan merangkumi wang ringgit, kenderaan, tanah dan bangunan yang dirampas daripada mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah.
“Jangan anggap rasuah boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana jika didapati bersalah, bukan sahaja masuk penjara malah harta juga dirampas.
“Kita tidak akan beri peluang kepada mereka yang melakukan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah dan Terima Tugas antara Pengarah BPR negeri yang baru, Nooraziah Abdul Manaf dengan bekas Pengarah BPR Pulau Pinang, Ja'afar Mahad di sini, hari ini.
Nooraziah merupakan bekas Pengarah BPR Johor sementara Ja'afar pula ditukarkan ke Selangor juga sebagai Pengarah.
Menurut Mohd. Shukri, sejak beliau mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Siasatan, fokus utama yang dilakukan ialah terhadap rampasan harta dan penyelewengan melibatkan dana kerajaan.
Pada sidang akhbar itu juga, beliau mengingatkan pengarah-pengarah BPR supaya bertindak segera ke atas kes penyelewengan yang dilaporkan oleh media.
“Keluar sahaja dalam akhbar atau televisyen, bertindak segera, jangan tunggu arahan daripada Ibu Pejabat,” katanya.
Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah memanggil 10 orang untuk memberikan keterangan berhubung kemasukan lebih 25,000 tan beras wangi dari Thailand tanpa permit import (AP).
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, mereka dipanggil berbuat demikian setelah pihaknya menjalankan penyiasatan kes kemasukan beras wangi yang bernilai lebih RM60 juta itu sejak dua hari lalu.
‘‘Mereka terdiri daripada kakitangan Padiberas Nasional Bhd. (Bernas), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kastam Diraja Malaysia,’’ katanya.
Isnin lalu, akhbar melaporkan Bernas membawa masuk lebih 25,000 tan beras wangi tanpa AP menyebabkan 10,000 tan terkandas di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor; 10,000 tan lagi dalam kapal di Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah manakala kira-kira 5,000 tan di Pelabuhan Klang, Selangor.

No comments: