Wednesday, January 9, 2008

Nala cabar DSAI

Anwar Perlu Sahut Cabaran Buktikan Beliau Bukan PembohongPosted on Wednesday, January 09 @ 18:42:57 MYT
Oleh Kazman Kamal
Kuala Lumpur -- Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya segera menyahut cabaran bekas ahli yang juga rakan karibnya Datuk K. Nallakarupan berhubung cabaran untuk mendedahkan apa yang telah dilakukannya untuk kebaikan masyarakat India sewaktu beliau berada dalam kerajaan dahulu.
Cabaran tersebut perlu disambut sebagai membuktikan kebenaran dan keikhlasan beliau yang ketika ini sedang ghairah menjelajah seluruh negara menyatakan Parti Keadilan akan memastikan masyarakat India tidak dipinggirkan jika beliau memegang kuasa.
Mengulas perkara tersebut bekas Setiausaha Pemuda Parti Keadilan Selangor, Wan Indera Putra Wan Ahmad berkata Anwar seharusnya tercabar dengan kenyataan rakan karibnya itu bagi membuktikan beliau bukanlah pemimpin pembohong seperti didakwa.
Jelas Wan Indera kenyataan Datuk Nalla itu perlu dipandang serius berdasarkan keakrabannya dengan Anwar lebih 30 tahun.
"Anwar sepatutnya tercabar dengan kenyataan ini dan perlu segera menyahut cabaran Nallakarupan. Jika tidak sudah pasti apa yang sedang dijanjikan Anwar ketika ini kepada masyarakat India tidak lebih sekadar umpan kosong atau satu pembohongan besar.
"Masyarakat India juga sudah pasti mahu tahu apakah sumbangan Anwar ketika berkuasa dalam kerajaan dahulu", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MIUP) Datuk KS Nallakarupan yang mencabar Penasihat Parti Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mendedahkan apa yang telah dilakukannya untuk kebaikan masyarakat India sewaktu beliau berada dalam kerajaan dahulu.
Malah Nallakarupan yang juga kawan karib Anwar lebih 30 tahun lalu turut mendakwa Anwar hanya berbohong kepada masyarakat India sekarang, semata-mata untuk mendapatkan undi mereka.
Tegas Wan Indera lagi Anwar sepatutnya segera mengajak Nallakarupan untuk berdebat secara terbuka bagi membuktikan tuduhan tersebut sebagai dusta semata.
"Dengan cara ini masyarakat India akan dapat menilai apakah benar tuduhan Nallakarupan atau sememangnya Anwar hanya bermain politik.
"Kita merasakan Nallakarupan mempunyai asas dan bukti yang kukuh dalam tuduhannya. Masakan dia berani menuduh rakan karibnya sedemikian rupa sekiranya beliau tidak mempunyai peluru yang cukup untuk menembak", ujarnya.

No comments: